Friday, April 9, 2010

Keputusan ke matrikulasi diketahui Jumaat depan

PUTRAJAYA 9 April – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah membuat permohonan untuk mengikuti program matrikulasi, boleh mengetahui keputusan permohonan mereka mulai 16 April ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran di sini hari ini, semakan boleh dibuat dengan melayari laman web http://www.moe.gov.my dan memasukkan nombor kad pengenalan serta angka giliran SPM pemohon.

Semakan juga boleh dibuat dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip perkataan MOEMATNO KP (pelajar) dan hantar ke talian 15888.

Talian bantuan Bahagian Matrikulasi iaitu 03-88844100 juga boleh dihubungi mulai tarikh yang sama dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang (hari bekerja sahaja) untuk mengetahui keputusan permohonan tersebut.

Tarikh pendaftaran pelajar matrikulasi ialah pada 10 Mei dan surat tawaran serta maklumat lanjut tentang pendaftaran, yuran dan sebagainya akan dihantar oleh kolej matrikulasi atau kolej Mara berkenaan.

Kenyataan itu juga menyebut, pelajar yang layak dan telah memohon, tetapi gagal mendapat tempat boleh membuat rayuan terus melalui internet mulai 16 hingga 30 April.

Keputusan rayuan boleh diketahui pada 24 Mei melalui laman web, SMS serta talian bantuan Bahagian Matrikulasi. – Bernama

No comments:

Post a Comment