Friday, March 19, 2010

Muhyiddin sifatkan Ungku Aziz lambang keintelektualan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Profesor Diraja Ungku Aziz adalah lambang intelektual tulen yang berjaya meletakkan penanda aras amat tinggi dalam dunia keintelektualan tanah air.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keintelektualan bekas pensyarah beliau ketika mengikuti pengajian di Universiti Malaya (UM) dari 1966 hingga 1970 itu dapat dilihat menerusi impak kajian ilmiahnya yang berjaya merubah pemikiran dan sikap masyarakat serta kesannya terhadap dasar kerajaan, terutama dalam pembasmian kemiskinan dan pemugaran ekonomi desa.

“Saya fikir inilah falsafah sebenar manusia intelektual dan peranan universiti sebagai gedung ilmu. “Apabila kita memperkatakan mengenai kajian berimpak tinggi, ukuran kita semestinya bukan hanya untuk menerbitkan makalah dalam jurnal antarabangsa, sekadar untuk meningkatkan kedudukan universiti, mencapai sasaran kuantitatif Penunjuk Prestasi utama (KPI) atau mendapat peluang kenaikan pangkat, tetapi mengenai sejauh mana kajian dihasilkan dapat memberikan kesan secara signifikan kepada perkembangan pemikiran masyarakat dan peningkatan kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku Royal Professor Ungku Aziz: The Renaissance Man yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya sempena meraikan ulang tahun kelahiran Ungku Aziz ke-88 di UM, di sini semalam.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon dan Ungku Aziz.

Muhyiddin berkata, keistimewaan Ungku Aziz terletak kepada keupayaannya menguasai pelbagai disiplin ilmu dan menggunakan ilmu yang dikuasainya itu untuk mengemukakan pandangan yang praktikal dan ilmiah kepada sesuatu permasalahan atau isu dihadapi masyarakat.

“Sebagai seorang intelektual, beliau memberikan kepemimpinan moral dan etika bukan saja kepada warga universiti tetapi kepada masyarakat untuk membentuk pemikiran dan memupuk sikap selari dan secocok dengan tuntutan kemajuan dan pemodenan,” katanya.

No comments:

Post a Comment