Wednesday, April 28, 2010

Televisyen punca pengaruh negatif


KUALA LUMPUR - Tabiat menonton televisyen didakwa menjadi punca utama berlakunya obesiti dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak selain pembawa kesan negatif yang boleh mempengaruhi minda kanak-kanak.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, menonton televisyen secara berlebihan mewujudkan gaya hidup menyendiri dan tidak banyak terlibat dalam aktiviti fizikal selain menyebabkan obesiti.

Atas dasar itu, Fomca melancarkan Kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen yang bermula pada 21 hingga 27 April lalu bertujuan membantu mewujudkan kesedaran bahawa masa menonton televisyen perlu dihadkan kepada kurang dua jam sehari.

“Menurut kajian, golongan muda dan kanak-kanak menghabiskan masa antara empat hingga enam jam sehari menonton televisyen berbanding melakukan aktiviti fizikal.

“Jadi, melalui kempen ini kami berharap ibu bapa menyedari bahawa anak tidak boleh terlalu leka menonton televisyen terutama bagi mereka yang berumur dua tahun ke bawah.

"Ini kerana faktor persekitaran dan pengaruh yang dibawa oleh rancangan di televisyen itu sendiri,” katanya pada Sinar Harian pada Program Analisis Kempen Tidak Menonton Televisyen di Tabika Kemas Kem Batu Kentonmen.

Beliau berkata, kempen tersebut dianggap berjaya setelah menerima komen daripada ibu bapa memandangkan sepanjang seminggu kempen, mereka lebih banyak meluangkan masa dan membawa anak menjalani aktiviti riadah sekali gus mengeratkan hubungan terutamanya bagi mereka yang sibuk bekerja.

“Kita dapat reaksi positif daripada ibu bapa, ada yang mengatakan sepanjang mempraktikkan minggu kempen tidak menonton televisyen, mereka lebih mengenali anak mereka kerana ada yang meluahkan perasaan dan masalah.

“Fomca ada memberi buku laporan untuk dicatatkan mengenai aktiviti yang dilakukan bersama -anak dan beberapa cadangan aktiviti alternatif yang boleh dilakukan seperti membawa anak ke Zoo Negara, pergi ke perpustakaan, menolong ibu bapa dan aktiviti riadah lain.

“Kempen ini mendapat sambutan daripada ibu bapa berdasarkan laporan yang dicatatkan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story7622137.asp

No comments:

Post a Comment